Al-fatihah dirafakkan kepada guru kami, Ustaz Hassan Al-Banna. Aku melupai bahawa hari ini adalah 12 Februari 2013 yang telah menggenapkan 64 tahun pemergian mujaddid Islam ini bertemu Allah SWT setelah ditembak syahid pada 12 Februari 1949.
Sebenarnya aku tidak berapa setuju akan tarikh ini kerana ia dihitung menggunakan kalendar Masihi padahal masa yang lagi tepat menggunakan kalendar Hijrah. Namun, aku akur akan maqasid hanya untuk memperingati tokoh da'wah ini.
Aku akui memang aku sibuk menelaah buku pemikiran Hassan Al-Banna yang menjadi rujukan di mini libraryku. Walhal, tidak dinafikan buku-buku karangan dan kupasan pemikiran Ustaz Hassan Al-Banna banyak mencorak pemikiranku. Sehinggakan, aku merasakan ianya seakan kukuh di dalam diri bagi menafikan pemikiran-pemikiran yang tidak sihat daripada menyelimuti ubunku.
Aku akui bahawa fikrah Ikhwan bukanlah maksum. Namun, pemikiran yang mendekati kesyumulan Islam ini hendaklah diikuti sewajarnya. Disudut yang lain, aku merasakan pertautan hatiku bersama Hassan Al-Banna apabila menghadam karya-karyanya. Bahkan Ustaz Hassan Al-Banna juga telah membuktikan dirinya berada dalam golongan yang disebutkan Allah dalam Surah Ali Imran ayat 169 yang selalu disebut oleh Asy-Syahid dalam ceramah-ceramahnya iaitu;
"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati), bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki"
Aku tidak ingin menulis banyak pada entri kali ini. Cukuplah aku meluahkan cintaku pada guruku, Hassan Al-Banna. InsyaAllah, aku ingin merealisasikan ziarahku ke Maqam Hassan Al-Banna tahun ini. Doakan.
Zaiem Al Hilmee
Kamar Peribadi Al-Hilmee
12 Februari 2013M
8.15 malam.