Hairan dengan tajuk. Agak pelik kerana mungkin agak jarang seseorang berkongsi mengenai kegagalan diri. Bagiku, menulis sebenarnya salah satu cara untuk mencurah apa yang terbuku di hati. Bukanlah hasratku untuk membuka keburukan diri, namun aku usaha mencari kekuatan daripada sang khaliq. Aku ini tidaklah sekuat seperti jangkaan manusia terhadapku. Mungkin aku lebih lemah dari seorang mujahidah. Namun begitu aku usaha untuk mengagahkan diri dalam mengharungi kehidupan sebagai fardun Muslim.
Banyak perkara yang aku fikir. Bila aku menuju ke sekolah tadi pada waktu Zuhur, air mataku jatuh ketika aku di atas motor. Banyak yang aku fikirkan. Semuanya hanya berpunca daripada satu perkataan yang mendalam maksudnya iaitu mengenai hak. Rasanya banyak perkara tak terlangsai lagi.
Entahlah. Aku tak pasti setakat mana usaha aku memenuhi hak sekeliling. Banyak hak yang perlu dilangsaikan yang aku rasa ia menuntut aku untuk selesaikan kesemua hal ini. Hak ibu bapa terhadap aku, hak adik beradik terhadap aku, hak jamaah terhadap aku, hak kerjaya terhadap aku, hak persahabatan terhadap aku, hak Rasulullah terhadap aku, hak Allah yang perlu dipenuhi. Kesemuanya perlu ditunaikan apatah lagi hak diri kepada diriku sendiri.
Aku selalu berfikir, adakah aku sudah memenuhi tanggungjawab aku sepenuhnya sebagai seorang anak? bagaimana pula terhadap adik beradik, kerjaya? Allah? Allahurabbi. Rasa gentar dalam hatiku.
Tentang family, biarpun aku tinggal di bandar aku selalu berfikir kakak-kakak aku dah makan ke belum, mak ayah ada keperluan ke nak dibeli, adik perlu duit ke tidak, adik dah solat ke belum? Allahurabbi. Kegagalan aku dalam soal ini memberiku tamparan hebat dalam Surah At-Tahrim ayat 6.
Kadangkala aku juga melihat kepada hak persahabatan. Mungkin kerana manusia ini ada egonya sendiri termasuk aku, aku gagal mencipta ruang situasi 'win-win' dalam keadaan yang mendesak. Dalam banyak hal,aku juga tidak lari dari keinginan yang didasari ingin menang dalam banyak perbualan dan perkongsian. Hurm.
Bila menyingkap hak kepada gerakan Islam, banyak yang aku perlu perbaiki. Aku usaha untuk mengikuti saranan ulamak muktabar gerakan. Aku tahu kemenangan Islam dan gerakan Islam tidaklah jauh cumanya ia hanya dipisahkan dengan satu hijab (penutup) maka apabila pra syarat kemenangan telah dipenuhi, Allah akan membuka hijab yang menutupi selama ini. Nauzubillah jika diriku menjadi faktor terhijabnya kemenangan Islam atas dosa-dosa yang tidak disedari dan disedari sepanjang aku menjadi abnaaul harakah.
Pastinya memenuhikan hak Allah sebagai penciptaku memberikan aku satu ketenangan. Aku sedar banyak perkara yang aku belum lakukan sebagai seorang hamba. Aku tidak mahu menjadi hamba yang gagal dalam usaha meraih cintaNya di kehidupan ini sebelum aku dapat melihatNya di akhirat kelak.
Itulah aku yang sering gagal dalam memenuhi hak. Semakin lama aku melihat ke dalam diriku, banyak perkara yang aku perlu untuk langsaikan. Syukran juga kepada sahabat-sahabat yang kebelakangan ini menyuntik semangat-semangat untuk aku bergelar suami tetapi sedangkan aku mungkin gagal dalam melangsaikan amanah ketika berseorangan apatah lagi bila sudah bergelar suami. Sesungguhnya, aku ingin menebus kegagalan ini.
Zaiem Al Hilmee
10 Januari 2013
Kamar Peribadi Al-Hilmee
10.43 pm
Tiada yang sempurna melainkan ALLAH SWT, mahu memenuhi semua hak bukanlah pekara yang mudah..sbb kita insan memang dilahirkan bersama kelemahan masing2 namun itu bukan persoalannya..persoalanya sekurang2 nya nta ada berusaha..
in shaa ALLAH zaiem x gagal pun, malah sudah jauh lebih baik dari yang akak kenal dulu..bersyukurlah dengan diri zaiem sekarang..dalam masa berusaha penuhi hak-hak yang lain =)
Syukran kak Nani. Ana tak sangka akak sanggup bertandang ke blog picisan ana ni. Syukran kak sejak perkenalan kita, akak banyak beri tunjuk ajar kat ana.
Teringat waktu2 kat kampus dulu. Indah sungguh kenangan bila berada di organisasi da'wah sekitar tahun 2007.
InsyaAllah nanti ana datang Tawau, ana akan singgah ziarah akak sekeluarga. Syukran atas komen dan motivasi. Sungguh terharu ana. :)