Aku selalu berfikir akan kehidupanku. Pastinya semua orang mempunyai hasrat dan sikap yang sama. Ini sunatullah dalam menentukan halatuju hidup. Hidup yang tiada perancangan adalah ibarat layang-layang yang terputus talinya. Bagiku, aku lebih suka kehidupan yang membolehkan aku belajar dan menjadi diriku sebenarnya.
Aku asyik termenung, kenapa aku kini berada dalam kerjaya sebagai seorang Mudir Sekolah Tahfiz walhal basic diriku adalah Mechanical Engineering Manufacturing dan tidaklah aku ini seseorang yang berbasiskan pengajian aliran agama secara holistik. Sebenarnya, inilah pilihan Allah yang mempunyai hikmah cukup besar.
Aku bersyukur Allah memberikan aku ruang untuk 'bercucuk tanam' dalam sistem pendidikan Islam. Iya, aku bahagia kerja sebegini apatah lagi memang niatku untuk mewakafkan diriku menjadi petugas sepenuh masa untuk gerakan da'wah. Hidup, makan, kerja, tidur, harta dan fikiranku dihabiskan untuk jalan da'wah. Gaji yang ditawarkan tidaklah selumayan jika berkhidmat sebagai kakitangan government namun aku tidak endahkan itu semua kerana hal gaji inilah yang bagiku antara faktor membutakan hati dalam mengikhlaskan diri dalam kerjaya. Aku berusaha dan soal rezeki aku serahkan sepenuhnya pada Allah. Alhamdulillah, aku tidak pernah runsing mengenai hal itu dan sentiasa dicukupkan malah rezeki bertambah-tambah. Qana'ah itu penting.
Biarpun sebelum ini aku ditawarkan pelbagai kerja antaranya disebuah syarikat gergasi yang menjanjikan gaji yang lumayan dan tawaran ibu bapaku untuk aku memasuki pegawai kerajaan namun aku menolak. Hatiku mahu bekerja mencontohi ahli Suffah di zaman Rasulullah SAW dan menjadi petugas sepenuh masa bagi menjayakan agenda Islam. Ini juga terdorong kebimbanganku jika aku lagha dan menjadi manusia tidak berguna jika memilih kerjaya yang bergaji lumayan namun sistemnya mengundang azab Allah seperti dosa ikhtilat, dosa tiada masa untuk bersolat, tiada masa untuk membaca Qur'an dan sahabat yang bekerja bersama kita adalah tidak berakhlak dan tidak soleh. Ini merbahaya.
Aku tanya pada kamu wahai pembaca, apakah engkau tidak berasa gembira bekerja dalam sistem yang dikelilingi oleh orang-orang yang soleh? Apatah lagi sistem kerja yang menitikberatkan ibadah tahajud, almathurat, solat Dhuha, puasa, qailullah, tarbiyyah, hafaz Qur'an? Aku ingin bertanya, apakah kerja yang lebih bahagia dan baik daripada kerja di dalam sistem yang beracuankan Islam? Aku yakin akulah orang yang beruntung. Aku bahagia.
Aku mengucap alhamdulillah. Amanah sebagai seorang pengurus sekolah membolehkan aku mengenali seramai mungkin sahabat-sahabat dari kalangan mereka yang bekerjaya profesional seperti lawywer, pensyarah, doktor, engineer, ilmuan Islam sehingga ke seorang pemotong rumput. Aku hargai kesemuanya dan inilah hadiah Allah kepadaku yang tidak terhingga.
Dua tiga hari ini banyak peristiwa yang membuatkan aku terfikir. Kisahnya, aku didatangi seorang doktor pakar yang mempunyai jawatan tertinggi di dalam Jabatan Kesihatan Negeri lantas menyuarakan hasratnya secara serius, "Ustaz, saya akan pencen dalam dua tahun lagi. Boleh tak nanti saya nak kerja dengan ustaz membantu dalam membersihkan sekolah dan menjadi pekerja am?". Saya terkedu, lalu aku membalas, "Doktor tak perlu buat kerja macam tu, doktor kena bantu saya dari sudut nasihat kesihatan sekolah dan dalam ruang lingkup kerja seperti itu". Dia membalas lagi, "Saya dah tak nak dah, puas dah kerja semacam itu, saya nak membantu untuk membersihkan pula".
Allahuakbar. Satu lagi kisah dengan seorang Doktor Psikiatri dan aku memanggilnya Dr Raziffah. Dia banyak membantuku dalam meningkatkan lagi pengalaman dan profesionalku. Paling aku terharu apabila doktor sanggup membantu membersihkan longkang sekolah. Apabila aku katakan kepadanya, "Doktor tak perlu buat keja, doktor dah banyak bantu saya". Maka dia membalas, "Takpe ustaz, saya ikhlas". Aku menggelengkan kepala dan merelakan permintaannya itu. Saya beristighfar.
Dua peristiwa ini cukup mengesankan jiwaku. Bagaimana mereka yang berjawatan tinggi dalam kerjaya sanggup membuat kerja amal dalam membantuku mengimarahkan sistem pendidikan Islam di bumi Sabah. Aku nekad. Aku akan pastikan sistem pendidikan sekularisme dalam sekolah hari ini berjaya dihancurkan dan diganti dengan sistem pendidikan Islam yang patuh syariah dan menjadi makmum kepada Allah. Inilah matlamat sistem pendidikan Islam iaitu menghancurkan sistem sekular pendidikan yang membawa kehancuran kepada umat Islam.
Aku akan meneruskan kerjayaku ini sehingga menutup mata. Aku janji walaupun halangan dan dugaannya besar, aku akan usaha iltizamkan diri walhal aku juga telah mengorbankan dan meninggalkan aktiviti pemfokusan politik, pentarbiyyahan remaja dan da'wah ngo yang saya minati selama ini semata-mata untuk memfokuskan kepada pembangunan sistem pendidikan Islam yang lebih utama. Aku tak kisah apa orang nak kata tapi inilah medan da'wahku yang ramai aktivis da'wah meninggalkannya. Aku menginginkan juga agar 58 orang pelajar yang aku didik melalui sistem pendidikan Islam akan menjadi ulamak pada 20 tahun akan datang. Inilah diriku, kamu pula bagaimana?
Zaiem Al Hilmee
Teratak Tarbiyyah Islamiyah An Nur
20 Safar 1434
10.14 pagi.