Salam alayk'.. Selamat Hari Lahir Bondaku yang berumur genap 56 tahun pada 19hb Februari 2010 ini. Bondaku yang bernama Pn. Hjh Dayang Puteh Binti Hj. Datu Tamin yang kini berada di Papar, Sabah. Bondaku yang lahir pada 19hb Februari 1954 di Papar dan dibesarkan di sana serta semoga ALlah merahmatinya sentiasa. Sayu dan hiba rasa hati tatkala melihat diri bonda yang kian hampir lanjut dimamah usia namun tetap tabah dan bersemangat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu. Terima kasih bonda kerana melahirkanku.
Anakanda di sini mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf sekiranya ada kesilapan. Terkenangkan senyuman bonda, marah bonda, kasih sayang bonda kepada kami yang mana kami tidak nampak cacat celanya dalam mengasuh kami. Bonda juga mengajar kepada kami mencintai ALlah, RasuluLlah dan agama. Sungguh besar jasa dan pengorbanan bonda dalam membesarkan kami 11 orang adik beradik. Biarpun anak yang bonda lahirkan dalam jumlah yang ramai, namun kegigihan bonda dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang "ibu" membuatkan kami rasa bangga dengan kasih sayang yang bonda berikan terhadap kami.
Penulis teringat dengan kasih sayang yang bonda berikan tatkala sentiasa mencium pipi anakanda dan ucapan "semoga berjaya" setiap kali anakanda ingin berpergian ke sesuatu tempat tanda meredhai setiap tingkahlaku dan perbuatan anakanda. "Bonda, anakanda akan berusaha untuk menjadi anak yang soleh untukmu". "Ya ALlah, berikanlah keredhaan kepada orang tuaku ini sebagaimana mereka membesarkanku, memberikan kasih sayang yang tidak terhingga kepadaku. Masukkanlah mereka didalam SyurgaMu dan sesungguhnya jasa mereka tidak dapatku balas dan aku berdoa agar mereka beroleh rahmat hidup di dunia dan akhirat".
Banyak hadis Nabi menyebut mengenai tuntutan menghormati ibubapa dan penderhakaan kepada mereka menyebabkan kita akan dimasukkan kedalam api neraka. Hadis Nabi diriwayatkan oleh Sayyidatina A'isyah Binti Abu Bakar,
"Aku bertanya kepada RasuluLlah SAW siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?". Maka RasuluLlah menjawab, "Suaminya". "Siapakah yang berhak terhadap lelaki?", tanyaku lagi. Jawab RasuluLlah, "Ibunya".
Jikalau mereka ada membuat kesilapan dan menyebabkan hati kita terasa, maka kita sebagai anak patut menganggap itu sebagai gurauan semata. Hubungilah dan sayangilah mereka sementara mereka masih hidup..
"Ya ALlah, kurniakanlah aku seorang isteri solehah yang mana menjadi "ibu" kepada anak-anakku kelak. Yang sentiasa mengingatkanku ketika alpa, serta sentiasa memberi semangat kepadaku untuk berjuang di jalan ALlah swt. Isteri yang mempunyai kefahaman agama, baik akhlaknya dan sanggup bersama tatkala berada dalam mehnah dan tribulasi".
p/s: Selamat Hari Lahir Ibuku, bondalah penyeri hatiku!!
Maal Hijrah
2 years ago