Salam alayk'.. Entri kali ini adalah sedikit kupasan mengenai RasuluLlah, namun penulis tidak akan membicarakan dengan lebih detail mengenai Sirah dengan begitu panjang lebar kerana apabila menjelang maulud Nabi, sememangnya akan penuh di posting-posting blog berkaitan kisah kelahiran Nabi. Apabila bercerita mengenai sirah Nabi SAW, teringat detik ketika penulis mendengar kisah ceramah agama yang agak melucukan dari negara seberang, Indonesia. Kisah ceramah berkaitan maulud dengan tajuknya "Awang2" dan diselangi dengan pembawaan kisah menarik dan mengelikan hati yang disampaikan oleh Ulama' Sulawesi berdasarkan realiti keadaan semasa. Buat yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut, carilah mp3 itu sendiri.. :)
Kitab Syamail Muhammadiyyah oleh Imam At-Tirmizi
Tanggal 12 Rabiulawal tahun Gajah, lahirnya Nabi SAW. Pada waktu kelahiran baginda, runtuhnya istana Kisra di Parsi dan terpadamnya obor api yang menjadi sembahan orang-orang Majusi. Untuk lebih mengetahui dan mengenali RasuluLlah SAW dengan lebih dekat dari segi perwatakan baginda dengan lebih teliti, saudara boleh merujuk dalam kitab yang terkenal iaitu "Syamail Muhammadiyyah" himpunan hadis yang dihimpunkan mengenai keperibadian dan perwatakan serta bentuk tubuh RasuluLlah oleh Imam At-Tirmizi dan kitab ini telah disyarahkan oleh Imam Ibrahim Al-Bajuri dalam kitab Al-Mawahib Al-Laddunniyyah 'ala Syamail Muhammadiyyah.
Kitab Syamail Muhammadiyyah oleh Imam At-Tirmizi
Dalam kitab itu menerangkan mengenai tanda kenabian RasuluLlah, cara berpakaian RasuluLlah, bentuk tubuh RasuluLlah dan sebagainya. Jika hendak mendengar kupasan kitab ini melalui online, boleh link ke Kuliah Kitab Syamail Muhammadiyyah . Apabila mendengar kuliah dan membaca kitab ini, terasa diri kita begitu dekat dengan RasuluLlah SAW. Hal ini patut dipupuk di kalangan masyarakat muslim agar bukan sahaja berarak ketika maulud Nabi tetapi juga menghayati disebalik pengorbanan RasuluLlah SAW.
Realiti masyarakat Islam hari ini, bukan sahaja mereka tidak mengetahui tentang tarikh dan peristiwa kelahiran RasuluLlah SAW, tetapi "mengolok-olok" terhadap orang yang menanya soalan berkenaan apabila soalan itu diajukan kepada mereka. Apakah inikah gelaran yang diberi sebagai umat RasuluLlah SAW.
Cuba kita kenang kembali tatkala bersihnya hati RasuluLlah sepertimana hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin, Sayyidaina A'isyah Binti Abu Bakar ketika mana sahabat bertanya bagaimanakan akhlak RasuluLlah SAW, maka dijawab oleh A'isyah, "Akhlak baginda adalah Al-Quran".. MasyaALlah.. hebatnya..
Bersamaan dengan maulud ini, marilah kita menghayati pengorbanan (tadhiyyah) RasuluLlah dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah sehingga sampai kepada kita hari ini. Perbanyakkan selawat ke atas RasuluLlah dan mengamalkan sunnahnya tanda kecintaan kita kepada baginda kerana kecintaan baginda terhadap kita selaku umatnya tidak dapat dipertikaikan lagi melalui detik perjuangan baginda dan ketika saat kewafatan baginda..
p/s: Muhammaddur RasuluLlah, aku mencintaimu..
salam..
macam menarik je ceramah tu. boleh bagitau nak cari dekat mana?