Salam alayk'.. Kali ini penulis ingin mengetengahkan tentang buku - buku haraki yang patut dimiliki oleh setiap Muslim bahkan yang merasakan dirinya pejuang Islam.. Apabila melihat buku-buku yang jarang dijumpai di pasaran biasa, semangat penulis membuak - buak untuk mengetahui dan mendalami ilmu yang terdapat di dalam buku - buku haraki tersebut apatah lagi buku - buku ini ditulis oleh seorang aktivis gerakan Islam yang penulis segani iaitu Ustaz Riduan Mohd Nor.
Hal ini kerana kesedaran tentang kedhaifan serta kekurangan ilmu yang ada pada diri penulis. Justeru itu, penulis berazam untuk meningkatkan keupayaan diri melalui pembacaan buku - buku di samping Kuliyyah Haraki yang diadakan setiap minggu. Di antara sebilangan buku - buku haraki yang menerangkan tentang lebih 'detail' mengenai gerakan Islam telah dimiliki oleh penulis iaitu :
1) Memoir Jihad Anak Melayu Di Afghanistan
Islam yang kita cintai ini tidak pernah dibiarkan diterjah oleh musuh tanpa pembelaan daripada pencintanya di sepanjang zaman. Semakin kuat Islam dihimpit, semakin ramai pejuang yang tampil membela dari seluruh dunia termasuk dari Tanah Melayu walaupun terpaksa dibayar dengan harga yang mahal seperti pembantaian, pemenjaraan, pembunuhan serta diusir dari tanah leluhur...
2) Gaza Menangis
Palestin adalah bumi yang menjadi rebutan agama samawi sejak zaman-berzaman. Tanahnya sering bersimbah darah merah, air mata warganya juga sudah kering untuk menangisi penderitaan dan kejerihan. Waktu terus bergulir pantas sehingga kita alpa tanah suci ini belum tertebus hutangnya, al-Quds yang dijajah, Masjid al-Aqsa yang diratah. Buku ini menyingkap rahsia Palestin dan perjuangan membebaskan setiap inci tanah yang dijarah Yahudi Zionis. Juga merakamkan kanvas hitam pembantaian tanpa ampun Cast Lead selama 22 hari, iaitu serangan paling kejam di millenium baru ini.
3) Tokoh - Tokoh Gerakan Islam Abad Moden
Jihad dan dakwah telah melalui jalan panjang sepanjang keberadaan aqidah Islam di pentas dunia ini. Dalam denainya, ramai tokoh-tokoh telah dimunculkan oleh Allah SWT untuk membentengi agama ini walaupun berdada dengan kezaliman dam pemimpin tirani disepanjang abad pertarungan iman dan kufur.
4) Peperangan Rasulullah S.A.W
Buku ini diluncurkan ke tengah khalayak untuk membuka dimensi berfikir tentang sejarah kegemilangan Islam yang dipacu oleh Baginda Nabi SAW dalam bab pertahanan dan ketahanan sehingga mampu menggugah kuasa kuffar seterusnya Islam menjadi kuasa besar di zaman Saidina Umar al-Khattab...
5) Pengaruh Pemikiran As-Syahid Sayyid Qutb Terhadap Gerakan Islam Di Malaysia
Sayyid Qutb adalah nama besar yang menggugah nurani kita apabila berbicara tentang Ikhwanul Muslimin selain Hassan al-Banna dan tokoh-tokoh yang lain seperti Abdul Qadir Audah, Said Hawwa, Dr. Mustapha as-Sibaie, Abdul Aziz al-Badri, Hassan Ismail Hudhaibi dan yang lainnya. Sayyid Qutb mempunyai sejarahnya yang tersendiri sebagai tokoh ideologi Ikhwanul Muslimin serta diklasifikasikan sebagai tokoh pemikir yang sukar digalang ganti oleh dunia Islam...
6) Sejarah Dan Perkembangan Islam Abad Moden
Buku ini menemui pembaca dengan beberapa matlamat, yang pertamanya untuk berkongsi ilmu dan maklumat tentang sejarah dan perkembangan gerakan Islam, memahami kekuatan dan potensi sesebuah gerakan Islam yang berinteraksi dengan massa atau regim dimana mereka beroperasi, mengembangkan fikrah harakiah dan menartikulasikan amal haraki, persaingan kuasa, kebijakan berpolitik dan seni menguasai masyarakat yang telah dilaksanakan oleh gerakan Islam dalam mengharungi perjuangan di medan masing-masing...
7) Penghinaan Terhadap Rasulullah S.A.W
Sesungguhnya Rasul yang kita cintai dan kenali bersama merupakan contoh ikutan terbaik yang memiliki ciri-ciri unggul lagi terpilih yang tidak langsung terdapat pada cacat dan cela guna memastikan suatu tuntutan yang wajar dan perlu dicontohi bersama. Tetapi malangnya hari ini musuh-musuh Allah berani menghina Nabinya secara terang-terangan dan yang amat dikesali, penghinaan itu kekadang terkeluar dari lidah mereka yang mengaku umatnya. Maaf, gambar rupa buku tersebut tidak dapat disediakan atas masalah teknikal..
p/s : Semoga buku - buku tersebut dapat dimiliki oleh setiap Muslim sebagai pencetus semangat dan idea.. Kalo kat Sabah, cuba cari kat ASLAM NIAGA..
Maal Hijrah
2 years ago