Kepercayaan. Aku sememangnya amat berhati-hati untuk meletakkan kepercayaan kepada seseorang. Bagiku, ini adalah pengiktirafan dan disebaliknya merupakan maruah yang perlu dijaga. Mungkin ada yang memandang enteng tentang ini, mungkin juga ada yang tidak ambil peduli tetapi aku sangat berbeza.
Aku tak suka akan emosi dan menjadi kebiasaanku akan berfikir semasaknya sebelum mengambil sebarang keputusan. Ini mungkin salah satu yang berada dalam jiwaku setelah hampir sepenuh kehidupanku dihabiskan medan kepimpinan. Kepimpinan banyak mencorakkan hidupku bagi menghargai dan meletakkan harga sebuah kepercayaan di posisi yang sewajarnya.
Namun aku tidak nafikan, ketegasan telah mengajarku untuk memastikan kepercayaan terhadap seseorang individu bukanlah sesuatu yang mutlak untuk dipertahankan. Selagi mana ia tidak bercanggah dengan kewarasan yang boleh menjatuhkan hak dan kewibawaan. Inilah takrifanku kerana bagiku bahawa hak dan kewibawaan seorang individu juga merupakan suatu daripada apa yang diajar dalam Islam untuk dipertahan dan dipertingkatkan.
Aku suka untuk mengambil jalan tengah daripada berterusan berada di dalam konflik. Kepercayaan yang dibina boleh jadi lebur ditengah jalan tatkala hak dan kewibawaan tercabar atau diceroboh. Aku lebih suka mengambil keputusan untuk memencilkan diri dan mendiamkan diri biarpun untuk tempoh yang agak lama. Ini untuk menghindarkan agar aku tidak berfikir hal-hal yang menyakiti rohani dan memanjangkan sesuatu kekalutan.
Buat mereka yang terasa akan ke'diam'an aku, aku minta maaf. Aku tidak mampu untuk membina kepercayaan semula. Aku tetap dengan keputusanku, biarpun sehingga ke akhir hayat. Buat Imam Malik, guru segala ketegasan yang aku sanjungi dan buat Imam As-Syafie yang juga guru kesabaran dalam meneguhkan hati. Moga-moga tawassulku padamu membuka ruang agar Allah sentiasa membaiki hati-hati yang meranapkan hati-hati yang lain.
Ameen.
Yang mencintai Baginda Nabi,
Zaiem Al Hilmee
Teratak Tarbiyyah Islamiyyah An-Nur
06 Jamadil Awal 1434H
8.19 malam.