Nama Izzudin Al-Qassam sering kita dengari dari corong-corong radio atau kaca televisyen tambahan kebelakangan ini apabila Gaza diserang. Apa yang kita tahu ia adalah nama bagi sebuah briged, sayap kanan kepada HAMAS dan juga nama yang diberikan kepada roket buatan sendiri oleh HAMAS yang gunakan bagi menyerang Israel. Tahukah anda ia merupakan nama seorang ulama' yang dikurniakan oleh Allah dengan syahid. Siapakah Izzudin Al-Qassam ini ? Apakah kehebatannya hingga menjadi kebanggaan kepada para pejuang Palestin ? Nama beliau ialah Muhammad Izzuddin Abdul Qadir Al-Qassam. Dilahirkan pada tahun 1882 M di Jibillah, Syria. Keluarganya amat berpegang kuat dengan ajaran Islam. Bapanya seorang guru Al-Quran yang mengajar anak-anak di kampung mereka membaca dan menghafaz Al-Quran. Beliau pernah menuntut di Universiti Al-Azhar di Mesir ketika berumur seawal 14 tahun sekitar tahun 1906. Sewaktu menuntut beliau sempat belajar daripada tokoh terkenal, Syeikh Muhammad Abduh r.anhu dan bersahabat dengan Syeikh Muhammad Rashid Redho. Semasa di zaman menuntut lagi beliau telah pun gigih melakukan usaha dakwah. Cerita berkaitan kesyahidannya iaitu pada pagi Rabu tanggal 20 November 1935 bertempat di Kota Ashrasy Ya'bad, Kota Jenin, Palestin terjadilah pertempuran atau peperangan yang tidak seimbang antara ratusan pasukan Inggeris yang bersenjatakan lengkap dengan bantuan helikopter serta pesawat menggempur sepuluh orang mujahidin pimpinan Syeikh Izzuddin dengan sebarang kekurangan dari segi persenjataan. Dalam tragedi yang penuh menyayat hati itu, Syeikh Izzuddin Al-Qassam memerintahkan pasukannya untuk memilih mati syahid daripada berundur, ketika mana para mujahidin telah dikepung oleh pasukan Inggeris itu. Akhirnya Syeikh Izzuddin Al-Qassam bersama sembilan orang pasukannya meraih kematian yang dimuliakan dan menjadi cita-cita seorang mujahid iaitu syahid yang menjemputnya menemui Tuhannya. Dalam poket baju Syeikh Izzuddin terselit mashaf Al-Quran yang menjadi sumber inspirasi seorang muslim.Umat Islam di Palestin dan seluruh dunia melakukan solat jenazah ghaib untuk beliau. Jenazah As-Syahid Izzudin Al-Qassam dengan bajunya yang berlumuran darah dibawa oleh ribuan pencintanya ke perkuburan di kampungnya. Gugurnya beliau telah mencetuskan lebih banyak penentangan, pergolakan dan bantahan terhadap penjajahan Inggeris dan Zionis terhadap bumi Palestin. Puluhan tahun telah berlalu hingga waktu ini. Persoalan yang perlu kita tanya, di mana musuh-musuh yang memusuhi perjuangan Syeikh Izzuddin? Di mana mereka yang membunuh Syeikh Izzuddin dan teman-temannya? Mereka hanya mampu membunuh jasad Syeikh Izzuddin tapi gagal mematikan roh perjuangan beliau dan teman-teman yang lain. Di manakah pula Syeikh Izzuddin dan teman-temannya berada sekarang? Tanpa syak dan ragu-ragu, dengan penuh keimanan kepada Allah dan ayat suci-Nya dalam kitab Al-Quran yang kita imani bahawa orang-rorang yang mati syahid tidak mati bahkan mereka hidup di sisi Allah s.w.t malahan diberikan rezeki. Alangkah bertuahnya Syeikh Izzuddin dan teman-temannya kini dalam rahmat Allah, sementara merana dan sengsara pula musuh-musuh mereka diazab oleh Allah. Jasa Syeikh Izzuddin Al-Qassam sentiasa dikenang oleh orang-orang Islam terutamanya di Palestin. Nama beliau diabadikan oleh HAMAS dengan menamakan sayap ketenteraannya serta pada senjata dan bendera mereka. Mari sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada beliau serta teman-teman beliau yang lain. Semoga kita semua akan dihimpunkan di akhirat kelak bersama-sama beliau serta syuhada' yang lain. Amiiiin...
Maal Hijrah
1 year ago
Salam perjuangan...