Ikhlas. Sukarnya untuk aku menjaga dan memeliharanya. Dalam aku menulis saat ini, aku sentiasa berdoa di dalam hatiku agar Allah sentiasa memberiku kekuatan untuk mengikhlaskan diri dalam menulis. Moga-moga Penciptaku yang sentiasa kucintai ini memberi redha kepadaku dalam menulis.
Sungguh, diriku yang lemah dan berdosa ini tidak tahu manakah perkongsianku di dalam artikel-artikel sebelum ini yang mendapat pandangan Allah swt. Mungkin saja sedikit ataupun tiada. Hanya Allah sahaja yang mampu membilangnya.
Saat ini, aku begitu mendambakan kecintaan sepenuhnya dari Allah sehinggakan hati kecilku ini selalu terdetik, 'Allah selalu memandangku ketika yang lain menoleh daripadaku, lantas cinta di hati ini untuk siapa? Untuk yang memandang atau yang menoleh?'.
Semoga 'zouk' cintaku ini tidak akan pudar. Ameen.
Aku begitu risau waktu ini dengan keikhlasan. Dalam bertahun terlibat mengaplikasi tarbiyyah 'amaliyyah di lapangan ummah, tidak dapat dikira berapa kali keikhlasan itu hadir. Mungkin banyak, mungkin sedikit atau langsung tiada. Lantas, amal-amal yang tidak ikhlas itu di mana tempatnya? Titisan keringat sudah tentu menjadi sia-sia pada pandangan Allah.
Dalam mentarbiyyah ummah, kita akan selalu memberi. Namun, kita juga selalu terlupa akan persediaannya sebelum kita memberi sesuatu. Kita terlupa akan keikhlasan.
Tidak kira apa istilahnya, murabbi mahupun muraqqib namun ikhlas ini harus sentiasa wujud dalam hati-hati kita. Amalan daripada tarbiyyah ruhiyyah (didikan rohani) pastinya mampu untuk memecahkan hijab diantara niat dan keikhlasan tersebut.
Tarbiyyah ruhiyyah inilah sebagai 'booster' untuk menghadirkan keikhlasan dalam diri kita. Kini, aku sudah berada di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Bulan yang mendidik hatiku, hatimu dan hati kita. Betapa lazatnya ibadah saat ini. Bagiku, inilah waktu terbaik untuk memberi rawatan kepada hati yang tidak pernah puas dan sering bernoda hitam. Semoga keikhlasan itu dapat mengisi ruang-ruang hati.
Ahlan wasahlan ya Ramadhan kucinta. Semoga Allah menghadirkan ikhlas disaat ini dan selepasnya. Bantulah hambamu ini ya Allah. Ameen.
Zaiem Al-Hilmee
Teratak Tarbiyyah Islam An-Nur
03 Ramadhan 1433H
3.39 a.m.